Saturday, February 2, 2008

Shahirah Dikunjungi Roh Rakan IRC (Mistik)

Shahirah menunggu seperti biasa. Lazimnya, dia akan bertemu dengan Hazlan
tepat jam 12 malam. Itulah kawan baiknya sejak dia mengenali dunia chatting
di IRC. Pada mulanya dia memang kurang mempercayai pengunjung-pengunjung IRC
kerana mereka boleh menyamar bila-bila masa tetapi Hazlan lain pula. Dia
memang jujur dan berterus-terang dalam banyak hal. Lagipun, mereka belum
pernah bertemu cuma kerap bercakap melalui telefon sekiranya tidak
berpeluang bertemu di IRC.

Namun, malam ini berbeza, Hazlan tidak muncul. Dia sering menggunakan nama
'hensemboy' manakala Shahirah pula menggunakan nama 'nurheart'. Namun, malam
ini nama tersebut tidak muncul. Shahirah kecewa kerana Hazlan mungkir janji
mahu bertemu dengannya di IRC. Shahirah meninggalkan kafe siber itu dengan
hati yang sedih.

Selang beberapa malam, Shahirah kembali mengunjungi IRC. Hajat utamanya
ialah mahu mencari Hazlan kerana sudah beberapa hari Hazlan tidak pernah
menghubunginya jauh sekali memohon maaf kerana gagal memenuhi janjinya
beberapa malam lepas.

Hampir sejam Shahirah berbual dengan rakan-rakannya yang lain, pada mereka
juga Shahirah bertanya mengenai Hazlan namun mereka mengatakan sudah lama
Hazlan tidak masuk IRC. Apabila hampir jam 12.30 tengah malam, nama samaran
'hensemboy' muncul. Shahirah tanpa membuang masa terus menegur Hazlan.

nurheart Lan...

hensemboy Ira... maaf saya tak dapat masuk malam itu.

nurheart Awak ke mana? Kenapa tak call saya?

hensemboy Maaf... saya tak sempat menghubungi awak. Maaf...

nurheart Tak kisahlah. Awak sihat?

Pertanyaan Shahirah tergantung di situ. Hazlan tidak menjawab pertanyaannya
dan tiba-tiba senyap. Shahirah menunggu dengan sabar namun tetap Hazlan
tidak menjawab pertanyaan dan 'panggilan' Shahirah. Dengan rasa sedih
Shahirah meninggalkan IRC dan pulang dengan perasaan hampa.

"Kenapa dengan kau ni, Ira?" tanya Samirah, kawan baiknya sewaktu Shahirah
melangkah lemah ke biliknya malam itu.

"Aku tak faham betul. Kenapa Hazlan dingin dengan aku? Apa yang telah aku
lakukan terhadap dia?"

"Jangan percaya sangat dengan pengunjung IRC tu. Mereka boleh menyamar
bila-bila masa saja. Aku dah kata jangan terlalu rapat nanti kau kecewa,"
kata Samirah.

"Aku berbual dengan dia malam ini tapi dia tiba-tiba hilang. Aku risaulah
dengan dia, Sam," katanya sambil memegang tangan Samirah.

Samirah mendiamkan diri seketika. Sejurus itu dia menyarankan agar Shahirah
menelefon rumah Hazlan. Itu mungkin boleh melegakan perasaannya yang gundah
kerana sikap pelik Hazlan. Shahirah bersetuju dengan pendapat Samirah. Dia
akan menghubungi Hazlan esok selepas dia pulang dari kelas malam.

Pada malam esok selepas tamat kelas malamnya, Shahirah telah singgah ke kafe
siber. Hajat hatinya mahu berbual dengan Hazlan sekiranya dia masuk IRC
malam ini. Sekurang-kurangnya dia dapat bertemu dengan Hazlan sebelum dia
menghubungi rumahnya malam ini. Hajat Shahirah tercapai apabila Hazlan masuk
IRC malam ini. Shahirah tersenyum gembira apabila Hazlan telah menegurnya.

hensemboy Ira... awak marah saya ke?

nurheart Siapalah saya mahu marah awak, Lan. Kenapa awak macam mahu tidak
mahu berbual dengan saya?

hensemboy Saya bukan lagi seperti dulu, Ira. Tapi, perasaan saya masih sama
terhadap awak. Saya sedih nanti kita tidak dapat berbual lagi seperti dulu.

nurheart Kenapa?

hensemboy Saya kemalangan malam yang saya berjanji masuk IRC mahu bertemu
dengan awak, ingat?

nurheart Awak teruk ke?

hensemboy Saya cedera parah. Teruk sangat sampai... saya hilang darah yang
banyak... saya tercampak di dalam semak dan saya cuba cari jalan keluar.
Dengan rasa sakit yang amat sangat, saya tertinggal di tepi semak batu 6.

nurheart Siapa yang membantu awak? Sekarang awak di mana?

hensemboy Tidak ada siapa. Saya masih di sini... menanti orang membantu
saya.

nurheart Maksud awak?

hensemboy Saya sudah meninggal dunia, Ira. Tolonglah cari mayat saya.
Sempurnakan saya, Ira. Tolonglah.

Shahirah tersentak dan lantas meninggalkan komputernya dengan rasa takut
yang amat sangat. Dia berlari menuju ke pondok telefon berdekatan dan
menghubungi rumah Hazlan. Memang Hazlan seorang yang suka bergurau tetapi
gurauannya malam ini memang menyeramkan.

Terdengar deringan telefon dan satu suara wanita menjawabnya. Apabila
ditanya, dia merupakan kakak Hazlan. Setelah memperkenalkan dirinya, dengan
lembut Shahirah bertanya mengenai Hazlan. Tiba-tiba suara wanita itu
menangis. Katanya, sudah empat hari Hazlan tidak pulang ke rumah. Laporan
polis sudah dibuat namun masih belum ditemui. Dengan suara yang bergetar,
Shahirah berkata kepada kakak Hazlan supaya mencari Hazlan di dalam semak
Batu 6. Tanpa menunggu lama, Shahirah terus meletak gagang. Airmatanya
mencurah-curah bercampur sedih dan takut.

Keesokan harinya, kisah Hazlan muncul di muka depan akhbar. Mayat seorang
siswa berumur 25 tahun ditemui di dalam semak kawasan Batu 6 dalam keadaan
cedera parah dan mulai busuk. Motor yang ditunggangnya tercampak ke dalam
gaung. Kemalangan itu ditafsir sebagai langgar lari. Shahirah melipat akhbar
tersebut. Dia berjanji tidak akan mengunjungi IRC lagi. Dalam diam dia
mengakui Hazlan memang menyayanginya kerana dalam keadaan begitu dia masih
cuba mahu berbual dengannya walaupun dengan memberitahu berita yang sedih
bahawa dia sudah tiada lagi.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin