Milah memang terkenal kepoh di kalangan orang kampung. Setiap petang dia
akan duduk berlonggok di tangga rumah jirannya sambil mengata orang kampung.
Ada saja cerita yang dibualkannya hingga tidak menyedari senja meremang.
Mulutnya tetap becok biarpun azan Maghrib berkumandang di masjid berhampiran
kampung sedangkan di saat itu sebagai hamba-Nya, kita sepatutnya tunduk
menghadap Ilahi.
Suaminya, Osman sudah jenuh mulut menegur kelakuannya itu. Bukan saja
menimbulkan fitnah tetapi tidak baik untuk bayi dalam kandungan kerana dia
sedang mengandung tujuh bulan. Kata orang tua-tua, hantu syaitan banyak
merayau di waktu senja.
Sikap degil Milah sudah Osman faham benar kerana sejak kahwin, Milah kerap
melawan cakapnya. Tujuh tahun mereka berkahwin, inilah kali pertama Milah
mengandung. Biarpun ini kandungan pertamanya, tapi Milah tidak membuat
penjagaan rapi seperti yang disarankan doktor. Bukan Osman melarang
isterinya duduk berbual tapi biarlah berpada, jangan sampai keterlaluan
hinggakan senja meremang pun dia masih duduk berborak di tangga rumah
jiran-jiran.
Ada juga orang kampung menegur perlakuan isterinya dan Osman juga sudah puas
menasihatinya tetapi ia umpama mencurah air ke daun keladi. Sikap isterinya
tetap tak berubah dan lama kelamaan, dia buat tak reti.
Maka sukalah Milah kerana tabiatnya sudah tiada yang ambil peduli. Maka
rancaklah, dia duduk berlonggok di tangga rumah jiran sambil mengata itu dan
ini. Kebetulan, ada teman-teman yang menyokong, rancaklah kegiatan itu.
Sebulan sebelum melahirkan, sikap Milah nyata berubah. Dia lebih gemar
menyendiri dan ketika kawan-kawannya datang ke rumah, mulutnya tidak lagi
becok bercerita seperti selalu. Memang ramai yang hairan dan suaminya turut
pelik dengan sikapnya itu tetapi dia tidak bertanya lanjut, malah
memanjatkan rasa syukur kerana isterinya sudah berubah.
Suatu malam, Milah merasakan perutnya terlalu sakit. Malah dilihatnya ada
darah yang mengalir di celah pahanya. Segera dia mengejutkan suaminya dan
tergesa-gesa mereka ke hospital. Sesampai di hospital, doktor membuat
pemeriksaan dan mendapati rahimnya sudah terbuka empat sentimeter. Milah
tidak dibenarkan balik pada malam itu sebaliknya dia ditahan di hospital
kerana menurut doktor, dia akan bersalin. Osman juga tidak mahu menanggung
risiko dan dia bersetuju kerana dia sudah tidak sabar untuk menimang anak
setelah tujuh tahun berkahwin.
Kurang dari 12 jam, Milah merasakan sakit perutnya makin kerap, sakit
pinggang dan segala-galanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Berkali-kali dia menjerit meminta tolong daripada jururawat bertugas. Sekali
dua mereka melayan karenahnya tetapi lama kelamaan mereka hanya mampu
menyuruhnya bersabar sahaja.
Kira-kira jam tujuh pagi, sakit yang Milah tanggung sudah tidak tertahan
lagi. Dia segera dibawa ke bilik bersalin kerana pintu rahimnya sudah
terbuka lapan sentimeter. Jururawat menyuruhnya meneran kerana kepala
bayinya sudah kelihatan. Berkali-kali Milah cuba melakukannya malah
tenaganya hingga kehabisan. Melihat keadaannya yang tidak bermaya, jururawat
'memasukkan air' dan setengah jam kemudian doktor melakukan kaedah vakum
bagi menyelamatkan nyawa bayinya yang hampir lemas.
Malangnya Milah meninggal dunia kerana urinya tersangkut di dalam rahim.
Mereka sedaya upaya menyelamatkannya, tapi benarlah Allah lebih menyayangi
makhluknya. Maka menangislah Osman kerana isteri yang disayanginya meninggal
dunia. Dia sendiri terkeliru bagaimana untuk mahu menjaga anak lelaki
tunggalnya, Muhammad Hakimi tanpa kehadiran seorang isteri. Puas keluarga
dan sanak saudara menasihatinya dan mereka berjanji akan menjaga anaknya
bersama-sama.
Jenazah isterinya selamat dikebumikan. Namun seminggu selepas itu, kampung
tempat tinggal mereka gempar apabila kubur Milah digali. Nasib baiklah
ketika itu, ada orang kampung terlihat tiga orang lelaki sedang memikul
mayat Milah. Kala mereka menyergahnya, ketiga-tiganya lari lintang pukang
dan meninggalkan mayat Milah di tepi kubur.
Gempar seketika orang kampung dan puas mereka bercerita tentang hal itu.
Kata orang, kubur Milah dikorek untuk dipuja dan mahu dibuat minyak dagu.
Segera mereka mengebumikan semula mayat Milah. Maka bertambahlah kesedihan
Osman kerana orang memperlakukan jenazah isterinya sebegitu.
Namun seminggu selepas itu, sekali lagi orang kampung gempar. Kali ini bukan
kuburnya dikorek tapi orang melihat kelibat Milah duduk di rumah jiran di
waktu senja, sama seperti perangainya yang suka bertandang ke rumah orang
ketika mengandung dulu. Sekali lagi, Osman rasa terpukul dan dia mendapatkan
nasihat daripada seorang Lebai di kampung mereka.
Kata Lebai itu, ini mungkin balasan Allah kerana perbuatannya yang suka
mengumpat orang dan tidak sempat meminta maaf daripada orang kampung apatah
lagi meninggal dunia sebaik bersalin. Bagaimanapun Lebai menasihatkan Osman
agar banyak bersabar di samping berdoalah agar Tuhan mengampunkan dosa-dosa
isterinya. Benarlah kata orang, jangan sesekali melakukan dosa kerana di
dunia Allah sudah menunjukkan balasannya, belum lagi balasan di akhirat dan
diseksa di alam barzakh.
Sunday, July 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)







0 comments:
Post a Comment